awam

Sos Nanas Manis Sos Nanas Manis

 

 

Sos Nanas Manis boleh disediakan dengan memasak puri buah nanas, garam, gula dan bahan pemekat bersama-sama air sehingga mendidih.

 

Untuk menjamin sos yang bermutu, pemilihan bahan perlu dititikberatkan. Buah nanas perlulah segar dan cukup kematangannya. Sos hendaklah dimasak untuk membasmi mikroorganisma yang terdapat di dalam bahan mentah. Masa dan suhu memasak hendaklah dipatuhi untuk mendapatkan warna, kepekatan, mutu yang seragam dan kestabilan sos. Pemprosesan haba yang lama akan menyebabkan sos lebih gelap warnanya.

 

Semasa mencampur, gam perlu digaulkan terlebih dahulu dengan sebahagian daripada gula yang diperlukan. Gam yang berserbuk halus ini tidak mudah larut bersendirian dalam campuran buah. Dengan mengaulkan gam dengan gula dan masukkan ke dalam campuran buah sedikit demi sedikit sambil dikacau, larutan dikacau dengan mudah tanpa berketul.

 

 

Asid Sitrik digunakan untuk menurunkan pH sos sehingga menjadi kurang dari 4.5. Ini adalah penting kerana bahan awet yang digunakan iaitu Natrium Benzoat mempunyai kesan yang maksimum hanya pada pH 4.5 dan ke bawah sahaja.

 

Sos diisi ke dalam botol semasa ianya masih panas. Ianya bertujuan mengurangkan pencemaran mikroorganisma di samping mendapat keadaan separa hampagas (partial vacuum) di bahagian mulut botol agar pertukaran warna di leher botol dapat dikurangkan.

Formulasi Sos Nanas Manis
Bahan Kuantiti (gm)
 Puri Nanas 300
 Marjerin 45
 Gula 330
 Garam 7
 Kanji Makanan 17.6
 Xantham Gam 0.4
 Asid Sitrik 7
 Air 292.5 Liter
 Sodium Benzoat 0.42 gm (berasaskan jumlah berat di atas)

 

Kaedah Pemprosesan

1.  Buah nanas yang matang dan tidak rosak dipilih. Dibuang kulit, mata dan dijadikan puri.

2.  Puri nanas dimasukkan ke dalam periuk masak dan dipanaskan sambil dikacau.

3.  Campuran gula, gam dan garam dimasukkan dan campuran dididihkan.

4.  Bancuhan kanji pula dimasukkan dan campuran dididihkan sambil dikacau.

5.  Masukkan bancuhan asid dan bahan awet dan dididihkan sehingga mencapai 40°Bx.

6.  Sos diangkat dan dibotolkan semasa masih panas dan ditutup segera.

 

Mukasurat: 1  2