Pengenalan Korporat

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (Lembaga Nanas) adalah sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan pada tahun 1957 yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu. Selaras dengan perkembangan industri nanas, perubahan nama agensi kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia telah dibuat pada tahun 1992 tertakluk kepada Akta Perindustrian Nanas Malaysia 1957 (Akta 105 - Semakan 1990) di bawah Kementerian Perusahaan Utama.

Pada 29 Mei 1996, Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk membubarkan Lembaga Nanas dan fungsinya dipindahkan kepada Jabatan Pertanian, FAMA dan MARDI. Perlaksanaan pembubaran dilaksanakan secara berperingkat bagi tempoh 3 tahun tertakluk kepada pembubaran Akta Perindustrian Nanas 1957 (Semakan 1990).

Lembaga Nanas telah diletakkan di bawah Kementerian Pertanian pada 1 Jun 1999 bagi menyempurnakan perlaksanaan pembubaran tersebut. Kementerian Pertanian telah diberi peranan sebagai agensi peneraju bagi menyelaraskan tindakan pembubaran yang berkaitan dengan pengagihan fungsi, kakitangan, harta, tanggungan, kuasa dan perundangan Lembaga Nanas di kalangan agensi yang terlibat.

Sehubungan itu, 56 kakitangan dari Bahagian Pembangunan Lembaga Nanas dipindahkan ke Seksyen Pembangunan Industri Nanas Johor, 8 kakitangan dari Bahagian Pentadbiran Lembaga Nanas telah ditukar ke Perkhidmatan Awam Negeri Johor dan 14 kakitangan dari Bahagian Merinyu dan Bahagian Perancangan dan Pembangunan Pasaran dipindahkan ke Pejabat FAMA Cawangan Johor.

Seramai 22 kakitangan telah dikekalkan di Lembaga Nanas untuk melaksanakan aktiviti yang berkaitan sehingga proses pembubaran selesai.

Kajian Semula

Bagaimanapun, pada 14 Jun 2000, Jemaah Menteri bersetuju untuk mengkaji semula keputusan pembubaran. Oleh itu, pada 15 September 2004, Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya Lembaga Nanas dikekalkan sebagai peneraju pembangunan industri nanas negara dan membatalkan keputusan pembubaran Lembaga Nanas pada 29 Mei 1996. Selain itu, harta alih dan harta tidak alih yang sedia ada di Lembaga Nanas juga dikekalkan dan semua jawatan.

Latar Belakang Perkembangan Perindustrian Nanas

Industri pengkalengan telah wujud sejak lebih 100 tahun. Pengkalengan buah nanas secara komersial mula-mula dijalankan oleh orang-orang Cina di Singapura. Sebelum pembangunan komoditi lain,industri nanas merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara. Pada tahun 1957, Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu (LPNTM) telah ditubuhkan di bawah Ordinan Perusahaan Nanas 1957, sekarang dikenali sebagai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), yang berperanan mengawal dan memajukan industri nanas Malaysia.

Industri nanas kaleng mencatat eksport yang kedua tertinggi selepas tembikai di dalam kategori buah-buahan tropika. Industri ini juga memainkan peranan dalam menyumbang kepada ekonomi negara dan memberi peluang-peluang pekerjaan secara langsung di sektor perladangan dan pemprosesan dan tidak langsung seperti sektor pengangkutan dan pembuatan yang lain. Dengan adanya agensi yang bertanggungjawab menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan industri nanas, Malaysia berkemampuan menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan masih upaya bertahan di pasaran utama.

Industri nanas Malaysia mendapat sokongan kerajaan dari segi polisi pembangunan tanah. Sektor pekebun kecil dan sektor ladang adalah diberi perhatian oleh kerajaan melalui pelaksanaan program-program pembangunan dan program sokongan industri.

Beberapa strategi telah diatur berdasarkan perancangan jangka panjang yang telah disusun. Fokus LPNM adalah untuk membuka kawasan-kawasan baru dan meningkatkan produktiviti serta menangani isu kekurangan bekalan buah ke kilang-kilang.

Globalisasi pensejagatan dan integrasi ekonomi dunia bererti pesaingan akan menjadi unsur paling utama dalam menentukan kejayaan dan berdaya kekalnya industri nanas Malaysia.

Disamping bertanggungjawab di dalam mengawal dan memajukan industri, LPNM perlu mengambilkira kecekapan, produktiviti, daya saing dan teknologi dalam pengeluaran, pemasaran dan perdagangan serta dapat menyusun strategi berasaskan kepada dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya penyusunannya menjadi lebih mampan dan berkesan.