MENU

SOALAN LAZIM SOALAN LAZIM


  Pasaran Eksport
Walaupun benua Asia merupakan rantau yang terhimpunnya negara-negara penanam dan pengeluar terbesar nanas segar dunia, namun syer pasaran eksport nanas segar adalah dikuasai oleh empat buah negara iaitu Costa Rica yang berdekatan dengan U.S.A serta Cote d' Ivoire, Honduras dan Ghana yang berdekatan dengan negara-negara Kesatuan Eropah. Keempat-empat negara ini menguasai hampir-hampir 56% daripada syer pasaran eksport nanas segar dunia U.S.A dan negara-negara Kesatuan Eropah adalah merupakan pengimport nanas segar terbesar dunia. Hanya Filipina dan Malaysia sahaja dari benua Asia yang tersenarai didalam 11 negara pengeksport nanas segar utama dunia. Kedua-dua negara Asia ini menyumbang 15 % daripada jumlah eksport nanas segar dunia (Filipina 13 % - Malaysia 2%).
 
Thailand dan Indonesia tidak tersenarai sebagai salah satu daripada negara-negara pengeksport nanas segar utama dunia kerana penumpuan mereka adalah lebih ke arah eksport nanas dalam bentuk kaleng dan jus. Ini adalah kerana jarak destinasi ke negara pengimport nanas terbesar dunia iaitu U.S.A (35 %) daripada jumlah import nanas segar dunia dan Perancis serta lain-lain negara-negara Kesatuan Eropah (40 %) adalah jauh berbanding dengan negara Costa Rica, Cote d'Ivoire, Honduras dan Ghana yang mempunyai kelebihan.
 
Didapati hampir keseluruhan pengeluaran nanas di keempat-empat negara daripada Kepulauan Mexico dan Afrika berkenaan adalah ditanam bagi tujuan untuk dieksport secara segar ke pasaran U.S.A dan negara-negara Kesatuan Eropah.
 
Berdasarkan kepada situasi semasa ini, pasaran nanas segar Malaysia mempunyai kelebihan untuk menumpukan syer pasaran nanas segar di rantau Asia, Australia, New Zealand dan Timur Tengah dengan persaing yang terdekatnya adalah terdiri daripada Filipina, Thailand dan Indonesia yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Malaysia dari semua aspek ekonomi dan sosial.
 
Namun begitu, sekiranya kajian tentang kelebihan dan kekurangan ciri-ciri produk dapat dijalankan keatas nanas yang dieksport segar oleh negara-negara seperti Costa Rica, Cote d'Ivoire, Handuras dan Ghana maka strategi pemasaran yang terancang dapat dibuat bagi menembusi pasaran nanas segar di U.S.A dan negara-negara Kesatuan Eropah yang menjadi tumpuan utama pasaran eksport nanas segar dunia pada masa ini.
 
Dalam tahun 2000, eksport nanas segar Malaysia adalah berjumlah hamper 17,000 metrik tan (RM 10.0 juta) iaitu hanya merupakan 1.6% daripada jumlah keseluruhan perdagangan nanas segar dunia. Sebahagian besar daripada jumlah eksport nanas segar negara adalah tertumpu ke Singapura iaitu sebanyak 87% dengan nilai eksportnya bernilai sebanyak RM 7.4 juta, diikuti ke pasaran U.A.E sebanyak 7.8% bersamaan RM 1.3 juta, Jepun sebanyak 1.2% dan Brunei 1.0% . Syer pasaran nanas segar di Singapura dan Brunei adalah dikuasai oleh sepenuhnya oleh Malaysia, iaitu melebihi 70% daripada jumlah keseluruhan nanas segar yang diimport oleh kedua-dua negara berkenaan dalam tahun 2000.
 
Usaha-usaha bagi mempertingkatkan lagi syer pasaran nanas segar Malaysia yang sedia ada seperti di Jepun, U.A.E dan Kanada juga perlu dibuat. Ketiga-tiga negara ini mencatatkan kuantiti import nanas segar dunia yang agak tinggi dalam tahun 2000. Namun, syer pasaran bagi nanas segar Malaysia di negara-negara berkenaan adalah dibawah 1% daripada jumlah keseluruhan nanas segar yang dimport oleh Jepun dan Kanada, sementara di U.A.E syer pasaran nanas segar Malaysia adalah sebanyak 14%. Sepertimana Singapura dan Brunei, program-program dalam mempromosikan nanas segar Malaysia di negara-negara berkenaan juga perlu dibuat dan pergiatkan lagi. Ini adalah kerana syer pasaran nanas segar negara telah sedia ada di negara-negara berkenaan, tetapi dalam peratusan yang kecil sedangkan ketiga-tiga negara berkenaan telah menunjukan pertumbuhan import nanas segar yang positif bagi tempoh 5 tahun (2000 - 2005), terutamanya negara Jepun yang merupakan negara ketiga terbesar di dunia yang mengimport nanas segar pada tahun 2005 (200,000 metrik tan - 11 % daripada jumlah import nanas segar dunia).

 

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7  8